Isnin, 9 Januari 2012

Bila Bercerita Mengenai Erti Cinta

Semua orang mengharapkan di suatu hari nanti, Allah Ta'ala pertemukan kita dengan pasangan yang terbaik. Untuk dapatkan yang terbaik, perlu nilaikan diri kita dahulu sebelum bermimpi atau memasang angan-angan untuk ke arah itu. Cerminkan diri kita. Adakah dia sesuai dengan diri aku, sedangkan dia patut di kurniakan lebih baik dari aku ini. Apa kebaikan yang ada pada aku sehingga dia ditakdirkan untuk menemani aku selepas ini. Inilah dikatakan stanza cinta kehidupan. Jangan terlalu taksub dengan cinta yang belum pasti.


Mencari cinta tidak semudah apa yang kita jangka. Apa erti cinta di mata saya. Selalu saya ulang pada sesiapa yang masih kabur dengan perkara mendapatkan cinta. Cinta itu ibarat bayang-bayang. Ia sentiasa berhampiran dengan diri kita. Tidak perlu kita kejar atau di cari. Kerana dia sentiasa di sisi.. Makin di cari, makin jauh dia lari. Seperti yang di perkatakan di Entri sebelum ini Cinta pasti mencari pemiliknya. Bila tiba saat dan ketikanya, cinta itu pasti hadir dari seseorang yang tidak kita jangka. Yang mampu sebagai manusia biasa, berdoa agar cinta yang di kurniakan buat kita, cinta yang ikhlas, dan bukan cinta di buat-buat atau cinta palsu.


Muhasabahlah cinta. Menilai diri dari keperibadian. Mohonlah pada pemberi cinta Allah Ta'ala, kerana cinta kerana Allah mampu membuatkan kita terasa jahilnya menilai maksud cinta sebelum ini. . Air mata cinta bermohon taubat kepada-Nya lebih di fardhukan ke atas diri kita dari mengalirkan air mata meratap cinta yang tidak kemana hala tujunya. Mungkin perasaan "cinta" ini terlalu halus untuk kita terangkan. Yang jelasnya, kerana cinta, ada sanggup berbuat berbuat apa sahaja.


Pada yang masih tercari-cari di mana itu cinta. Tidak perlu keluh atau menitiskan lagi air mata. Untuk kita sebagai manusia, pasti tersedia peluang merasa bahagia. Jangan terlalu taksub menerima sesuatu perasaan sehingga segala panduan hidup kita tidak dipedulikan. Mungkin itu cuma ujian daripada tuhan untuk menguji sejauh mana ketabahan, keimanan atas nama cinta kita kepada-Nya.



Cinta Sejati Tidak Akan Datang Bergolek
Ramai yang berkata begitu. Ada cinta yang hadir tiba-tiba. Ada kala cinta itu perlu kita cari. Bukan digoyangkan kaki menunggu cinta itu hadir begitu sahaja. Kepala ini serabut sekejap. Dalam hati, seperti biasa. Berbisik dengan berbaur perli dalam hati. " Murahnya kamus cinta dalam hidup kau,sampai suruh aku cari. Perlukah tips cari cinta dalam hidup manusia? Di mana? Maideen?? Tesco atau pun di Courts Mammoth?


Bukankan cinta itu di kategorikan sebagai "perasaan"? Perasaan yang hadir tanpa kita memaksa untuk menerimanya. Itulah Cinta. Dan ada segelintirnya pernah berkata, beri peluang untuk orang mencintai diri kita. Aduh !! Beri orang peluang untuk cintakan aku, abis aku?? Aku kena bercinta dengan siapa pula kalau masa menentukan yang aku tiada perasaan untuk rasa apatah lagi berkongsi perasaan yang sama dengan orang yang aku tidak cinta?

Mencari teman lelaki/perempuan untuk dijadikan suami/isteri bukan merupakan satu pengembaraan atau perjalanan untuk diperjudikan. Kerana mengikutkan perasaan, ramai yang tersilap memilih pasangan dan akhirnya perhubungan mereka di akhiri dengan perpisahan.



Kenapa Saya Masih Keseorangan Tanpa Teman?
"Kau bila nak kahwin?" "Kau ni memilih sangat ke sampai sekarang single lagi?Apa kata kau cuba mandi bunga?" Apa boleh buat. Sudah nasib telinga yang sepasang ini jadi habuan.


Kenapa saya masih keseorangan. Sebab saya belum sampai masa untuk berteman untuk mendapatkan pasangan. Pasangan yang hati saya terdetik berkata "dialah jodoh aku yang aku nanti-nantikan selama ini". Keserasian dalam berkomunikasi, dalam bertolak-ansur serta saling bertanggungjawab dalam setiap sudut, jujur, ihklas dalam setiap perlakuan dan perkataan, sentiasa tidak membelakangkan diri samaada dalam situasi susah atau senang adalah harapan dalam bualan doa setiap hari. Bukan mengharapkan luaran semata dan ayat ayat cinta yang tidak tahu berapa lama kekalnya.

Bukan tidak mahu berkahwin ataupun mencari teman. Kalau ikutkan hati, sekarang juga ingin melangsungkan perkahwinan bersama dengan yang tersayang, tetapi untuk diri menerima nikmat itu belum tiba masanya lagi. Terasa zalimnya diri ini menerima si dia yang langsung tiada ruang dihati sendiri.

Maafkan Saya Kerana Menolak Perasaan Hati Awak
Mungkin ini kesilapan besar dari saya yang tidak saya jangka. Mohon kemaafan seikhlasnya. Mungkin semua ini sudah takdir. Bukan madah cinta luka untuk setiap pasangan yang gagal ke persada cinta. Mungkin ini adalah petunjuk buat kita berdua yang kita tidak ditakdirkan untuk bersama. Erti Cinta yang kita cari adalah harapan yang sama. Tapi cinta yang perlu kita miliki bukan dari saya atau awak yang perlu saya dapatkannya.

Kamu perlu tahu ini sahaja dari saya

Kejayaan sesuatu percintaan hingga ke jinjang pelamin bukanlah sesuatu perancangan manusia yang boleh kita jadikan kenyataan hidup. Ini semua ketentuan Allah Ta'ala buat kita. Allah telah mengaturkan sebaik-baiknya dan bersesuaian dengan intipati keperibadian kita.


Untuk mendapatkan pasangan hidup,tidak perlu memikat dengan kecantikan atau kemewahan mahupun dengan madah cinta. Hanya keperibadian dalaman yang mampu membuat bakal suami kamu terdetik hati untuk menyunting kamu sebagai isteri.


Jangan bazirkan emosi dan air mata kerana gagal mendapatkan cinta dari mata. Disebabkan dikurniakan fitrah di sisi manusia adalah cinta, kita umpamakan kasih sayang itu adalah cinta dan airmata. Seharusnya kamu perlu bersyukur kepada Allah kerana perjalanan cinta yang gagal kali ini membuktikan tanda sayang Allah buat kita untuk membuktikan belum tiba masanya kita di pertemukan dengan pasangan yang sebetulnya.



Ingatlah, perkahwinan bukan semata-mata kerana cinta dan menyimpan perasaan pada manusia. Kerana jika kita sandarkan pada maksud sedemikian, hilang rasa cinta, musnahlah hala tujuan perkahwinan kita yang sebenar-benarnya. Perkahwinan yang kita harapkan nanti adalah sebagai satu jambatan untuk kita terus melangkah ke syurga, bersama dipimpin oleh pasangan kita. Cintakan Allah, kerana mengharapkan keredhaannya. Kerana mengharapkan keredhaannya, kau yang ku panggil isteri, aku terima kau sebagai amanah dari-Nya. Kerana dengan menerima amanah-Nya buat kasih kita terus ke syurga.
Insyaallah ~ Janji Allah itu pasti..

1 ulasan: